Wednesday 24 April 2013

KAEDAH PEMBELAJARAN SECARA KOPERATIF


Kaedah Pembelajaran Secara Koperatif
Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka kearah pelajaran. Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001). Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan menggunakan pendekatan secara kumpulan. Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri.




Amalan pembelajaran berpusatkan pelajar misalnya menggunakan pendekatan belajar secara berkumpulan memberi peluang murid-murid berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri.
Pelajar-pelajar melakukan aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan, mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) serta mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu adalah diharapkan apabila pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, mereka akan mencerminkan diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Kaedah kumpulan merupakan satu inovasi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar khususnya dalam pembelajaran matematik. Kumpulan murid terbahagi kepada dua iaitu kumpulan sama kebolehan dan kumpulan pelbagai kebolehan. Kaedah kumpulan sama kebolehan membolehkan guru membimbing pelajar-pelajar mengikut kebolehan di samping menjalankan aktiviti-aktiviti pengayaan dan pemulihan mengikut keperluan masing-masing. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbang rasa, perkembangan sahsiah dan kemahiran sosial (Buku Panduan KBSR, 1982).

1 comment:

  1. Terima kasih di atas pandangan cikgu.Kaedah Pembelajaran Secara Koperatif memang sesuai digunakan malahan dapat mewujudkan suasana p&p yang dapat membangkitkan minat belajar dikalangan murid secara aktif.

    ReplyDelete